LAWATAN PENANDA ARAS PENGURUSAN DAN PENGOPERASIAN SEKOLAH KHUSUS OLEH JABATAN PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU KE MAKTAB TENTERA DIRAJA TAHUN 2026
Hits: 17
LAWATAN PENANDA ARAS PENGURUSAN DAN PENGOPERASIAN SEKOLAH KHUSUS OLEH JABATAN PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU KE MAKTAB TENTERA DIRAJA TAHUN 2026
KUALA LUMPUR, 12 November 2026 – Maktab Tentera Diraja (MTD) telah menerima lawatan penanda aras daripada delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terengganu bertempat di MTD, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Lawatan yang melibatkan seramai 10 orang delegasi ini telah diketuai oleh Tuan Haji Azwadi bin Amzah, Ketua Penolong Pengarah Unit Sekolah Jenis Khas, Sektor Pengurusan Sekolah, JPNT. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Komandan MTD, Brigedier Jeneral Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM bersama barisan pengurusan MTD.
Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dalam aspek pengurusan dan pengoperasian sekolah khusus, merangkumi bidang akademik, kokurikulum, latihan ketenteraan serta pembangunan sahsiah dan kepimpinan Putera.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan taklimat oleh Cawangan Akademik, Cawangan Latih dan Jabatan Pendidikan Tentera berkaitan sistem pendidikan dan latihan di MTD. Delegasi turut menyaksikan persembahan Silat Gayung, Kawad Tempur Seksyen dan War Cry oleh Putera Tingkatan 4 serta peragaan 12 jenis pakaian yang melibatkan seramai 42 orang Putera. Program diteruskan dengan lawatan sekitar kawasan MTD bagi memberikan pendedahan terhadap kemudahan dan persekitaran pembelajaran serta latihan Putera.
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara MTD dengan JPNT melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan pendidikan, sekali gus memperkasakan usaha melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berdisiplin, berwibawa dan berdaya saing.