JOHOR, 23 hingga 25 September 2026 - Pasukan Maktab Tentera Diraja (MTD) telah menyertai Pertandingan Asia Legoland School Challenge yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Legoland Malaysia Resort, Johor.
Pertandingan ini melibatkan penyertaan di peringkat antarabangsa dengan 660 penyertaan dari 9 buah negara. MTD telah menghantar penyertaan pada bulan Jun melalui pembinaan sebuah model LEGO bertemakan The Ultimate Theme Park Ride.
Hasil kreativiti dan inovasi pasukan, binaan LEGO MTD berjaya melayakkan pasukan ke kelompok Top 5 peringkat antarabangsa. Pencapaian tersebut membolehkan pasukan MTD meneruskan cabaran di peringkat akhir yang turut melibatkan Speed Build Challenge pada 24 September 2026, yang menyumbang sebanyak 30 peratus daripada markah keseluruhan pertandingan.
Pasukan MTD yang diwakili oleh empat orang Putera Tingkatan 4 iaitu P/PSjn Akid Amsyar bin Khairil Amir (H), Putera Muhammad Zayed Al Zayyan bin Zumy Zuheidy (H), Putera Amirul Arsyad bin Noor Zaman (G) dan Putera Zarin Affan bin Zuwardi (F) telah menunjukkan komitmen, kreativiti dan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang pertandingan.
Dengan kepimpinan dan kerjasama pasukan, MTD telah berjaya memperoleh Tempat Keempat Peringkat Antarabangsa dalam Pertandingan Asia Legoland School Challenge. Pasukan MTD adalah di bawah bimbingan En. Mohammad Ashraaf Raiez bin Mohammad Ridzuan dan Pn. Noor Liyana binti Shamsudin yang bertindak sebagai pegawai bertanggungjawab (OIC) sepanjang penyertaan pertandingan.
Binaan LEGO hasil karya Pasukan Maktab Tentera Diraja turut dipilih untuk dipamerkan di Miniland Legoland Malaysia selama tempoh enam bulan sebagai pengiktirafan terhadap hasil kreativiti dan inovasi yang dihasilkan.
Brigedier Jeneral Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM, Komandan MTD dan En. Rashid bin Jamaluddin, Pengarah Pengajian MTD turut hadir pada hari terakhir semasa penyampaian hadiah kepada putera – putera terlibat. Tahniah dan Syabas Putera !