PERBARISAN SERAH TERIMA TUGAS KOMANDAN MAKTAB TENTERA DIRAJA (MTD)
Hits: 3
PERBARISAN SERAH TERIMA TUGAS KOMANDAN MAKTAB TENTERA DIRAJA (MTD)
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2026 – Panglima Pendidikan Latihan dan Doktrin ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM telah hadir menyaksikan Serah Terima Tugas Komandan Maktab Tentera Diraja yang berlangsung di Padang Kawad MTD, hari ini.
Dalam acara tersebut, Mejar Jeneral Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM telah menyerahkan tugas Komandan MTD Ke-33 kepada Brigedier Jeneral Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM menerusi tandatangan dokumen, penyerahan nota serah terima tugas dan penerimaan tongkat kuasa.
Perbarisan melibatkan 7 pegawai, 20 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), dan 330 Putera MTD diketuai oleh Mejar Hj Shahril bin Hj Shafie serta diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Drum Mejar, Sjn Mohamad Noorazlan bin Sazaly.
Mejar Jeneral Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM telah diraikan dalam perbarisan terakhir beliau sebagai tanda penghargaan dan penghormatan seluruh warga MTD atas khidmat bakti beliau sepanjang melaksanakan tugas sebagai Komandan MTD selama 2 tahun 7 bulan sejak Januari 2024.
Majlis seterusnya diteruskan dengan sesi temuduga Mantan Komandan MTD dan Komandan MTD oleh PPLD ATM, Upacara Serah Terima Tugas Pengerusi BAKAT MTD, Sesi Perjumpaan Mantan Komandan MTD bersama Warga MTD, diakhiri dengan persembahan demonstrasi silat gayong oleh putera MTD dan perarakan Street Lining Mantan Komandan MTD oleh pegawai, LLP, guru-guru, staf awam dan putera-putera MTD bermula daripada Lobi MTD sehingga ke Balai Pengawal MTD.
Seluruh warga Maktab Tentera Diraja mengucapkan Sekalung Tahniah dan Selamat Bertugas kepada Brigedier Jeneral Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM selaku Komandan ke-34, Maktab Tentera Diraja. Semoga YBhg Tuan terus cemerlang dalam menerajui kepimpinan di Maktab Tentera Diraja.