PROGRAM WIRA RMC 2026: MEMPERKASA REMAJA MELALUI PROMOSI KESIHATAN BERSEPADU
Hits: 8
PROGRAM WIRA RMC 2026: MEMPERKASA REMAJA MELALUI PROMOSI KESIHATAN BERSEPADU
16 Mei 2026 – Program WIRA RMC 2026 yang merupakan program promosi kesihatan remaja bersepadu telah berjaya dilaksanakan di Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan tema “Strong Body, Resilient Mind, Future Leaders”.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran pelajar Sarjana Kesihatan Awam (MPH) sesi 2025/2026, dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya bersama-sama pihak MTD. Program ini melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 MTD melalui pelbagai aktiviti promosi kesihatan dan pendidikan interaktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan remaja.
Program ini telah diketuai oleh Lt Kol (Dr) Shazwani bt Mohamad, yang merupakan Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia daripada Kor Kesihatan Diraja yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Kesihatan Awam di Universiti Malaya.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Komandan MTD dan turut dihadiri oleh warga staf MTD di segenap lapisan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar didedahkan dengan pelbagai isu kesihatan semasa termasuk kesedaran bahaya vape dan merokok, ketagihan media sosial, kesihatan mental, serta pemakanan sihat. Program turut diserikan dengan pelbagai booth interaktif dan aktiviti pendidikan kesihatan yang dikendalikan oleh rakan kolaborasi strategik daripada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, University of Malaya Medical Centre, National Cancer Society Malaysia (NCSM), Klinik Khidmat, Insaf Murni dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk perkhidmatan Mobile Dental Bus yang menyediakan saringan kesihatan pergigian kepada pelajar-pelajar MTD, saringan kesihatan asas, demonstrasi Basic Life Support (BLS) serta rawatan kecemasan, kesedaran kanser, pencegahan penyakit berjangkit, serta pendedahan peluang pendidikan dan hala tuju kerjaya selepas Tingkatan 5 di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
Pihak MTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran program ini.