SESI PENERANGAN MENGENAI TRIBUNAL BAGI ANTIBULI OLEH BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG (BHEUU) JABATAN PERDANA MENTERI KEPADA MAKTAB TENTERA DIRAJA (MTD)
Hits: 4
SESI PENERANGAN MENGENAI TRIBUNAL BAGI ANTIBULI OLEH BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG (BHEUU) JABATAN PERDANA MENTERI KEPADA MAKTAB TENTERA DIRAJA (MTD)
KUALA LUMPUR, 23 September 2026 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said telah hadir ke Dewan Tun Templer 2, Maktab Tentera Diraja pada hari ini bagi menyempurnakan Sesi Penerangan Mengenai Tribunal Bagi Antibuli oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri kepada warga Maktab Tentera Diraja.
Acara dimulakan dengan menyambut ketibaan tetamu-tetamu kehormat daripada BHEUU dan YB Menteri Undang – Undang, gimik persembahan kawalan kehormatan dan persembahan tarian perang oleh putera - putera MTD. Seterusnya, acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, ucapan pembukaan majlis oleh Brigedier Jeneral Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM, Komandan MTD dan ucapan perasmian majlis oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri Undang – Undang.
Dato' Sri Azalina Othman Said berkata menerusi ucapannya, menerusi Akta 876, kerajaan turut mewujudkan platform baharu iaitu Tribunal bagi Antibuli (TAB). Beliau berkata, penubuhan TAB bukan sekadar memberi fokus kepada menghukum pembuli, sebaliknya turut bertujuan memulihkan mangsa, membimbing pelaku serta memastikan setiap aduan ditangani dengan cepat dan telus. Katanya, ibu bapa juga perlu memahami peranan Akta 876 serta TAB yang ditubuhkan bagi menangani isu buli.
Turut hadir dalam program pada pagi ini ialah Leftenan Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM, Panglima Pendidikan Latihan dan Doktrin ATM, Brigedier Jeneral Mohd Kamil bin Hj Abdul Latiff, Ketua Pengarah Pengurusan dan Latihan ATM, YBrs. Tuan Azhaniz Teh bin Azman Teh, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dan YBhg. Datuk Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang - Undang.
Program diteruskan lagi dengan sesi taklimat dan penerangan oleh Puan Nurul Husna binti Awang, Presiden Tribunal bagi Antibuli kepada seluruh warga MTD dan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari di Galeri MTD.