Nama Maktab Tentera DiRaja (MTD) Sungai Besi cukup sinonim dengan pelbagai sejarah kecemerlangan, baik dari segi pencapaian akademik, kemantapan disiplin mahupun ketangkasan pelajar dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum dan sukan.Â
Sejarah kecemerlangan putera bermula sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di bumi MTD. Kehidupan yang dilalui oleh setiap putera dipenuhi dengan kitaran hidup yang berjadual dan displin yang mantap serta penuh dengan budaya hidup ala ketenteraan. Yang junior diajar oleh senior cara menyesuaikan diri dengan kehidupan di MTD sambil dipantau oleh jurulatih-jurulatih dari berbagai kepakaran dalam perkhidmatan ATM. Segala aktiviti yang dilakukan bersama untuk menerap nilai kerjasama dalam kumpulan dan semangat setia kawan bagi memastikan matlamat utama pernubuhan MTD tercapai iaitu melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan. MTD telah ditubuhkan untuk merealisasikan piagam MTD iaitu
PIAGAM
Untuk Menyediakan Belia-Belia Malaysia Mengambil Tempat Sebagai Pegawai-Pegawai Dalam Angkatan Tentera Malaysia, Menjadi Pegawai-Pegawai Kanan Perkhidmatan Awam, Menjadi Pemimpin-Peminpin dalam bidang Ikhtisas, Perdagangan dan Perusahaan Negara
Piagam ini telah ilhamkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dengan tujuan apabila MTD ditubuhkan pada tahun 1952, maka ianya dapat membantu Negara melahirkan bakal-bakal pemimpin yang akan menerajui Negara apabila Negara mencapai kemerdekaan pada 1957 nanti. Bagi menyambung matlamat dan inspirasi piagam tersebut sehingga hari ini, MTD telah meletak sebuah Visi dan Misi bagi menyokong matlamat piagam tersebut.